Teh tarik ialah minuman ikonik Malaysia yang digemari oleh semua lapisan masyarakat, dari warung kampung hingga ke restoran moden. Nama “teh tarik” diambil daripada teknik unik penyediaannya iaitu ‘menarik’ teh antara dua bekas untuk menghasilkan buih halus di permukaan.
Minuman ini biasanya diperbuat daripada campuran teh hitam pekat, susu pekat manis, dan susu cair yang memberikan rasa lemak berkrim.
Keenakan teh tarik bukan sekadar pada rasanya yang manis dan wangi, tetapi juga pada teksturnya yang lembut serta aroma yang memikat. Ia sering menjadi teman sarapan pagi, minum petang atau sekadar minuman santai malam hari bersama keluarga dan rakan.
Bagi pencinta minuman ini, “kaw” atau kepadatan rasa teh tarik adalah faktor utama yang menentukan tahap kenikmatan setiap tegukan.
Resepi Teh Tarik Kaw Kaw Sedap & Wangi
Nak rasa teh tarik macam kedai mamak ? Rahsianya terletak pada gabungan bahan dan cara bancuhan yang betul. Dengan resepi ini, anda boleh buat sendiri di rumah menggunakan bahan yang memang sudah ada di dapur.
Bahan-bahan:
-
500ml air
-
4–5 uncang teh (lebih banyak untuk rasa lebih “kaw”)
-
Susu pekat manis secukupnya (ikut tahap kemanisan yang disukai)
-
½ tin susu cair (boleh tambah jika mahu rasa lebih lemak berkrim)
-
1 sudu kecil esen vanila
Cara Penyediaan:
-
Panaskan air hingga mendidih, kemudian masukkan uncang teh. Biarkan warna dan aroma teh keluar sepenuhnya.
-
Masukkan susu pekat manis, susu cair, dan esen vanila. Kacau rata dan biarkan mendidih seketika supaya semua bahan sebati.
-
Tutup api. Untuk rasa lebih ummph, tarik teh beberapa kali dengan menuang dari satu bekas ke bekas lain.
-
Hidangkan panas-panas untuk teh tarik atau biarkan sejuk dan tambah ais untuk teh ais yang menyegarkan.
Tip Tambahan Teh Tarik Kaw Kaw
-
Gunakan air panas yang baru mendidih – Ini membantu daun teh atau uncang teh mengeluarkan rasa dan aroma sepenuhnya.
-
Pilih susu pekat berkualiti – Jenama yang lebih pekat dan berkrim akan menghasilkan rasa lebih lemak dan manis seimbang.
-
Tarik pada ketinggian sederhana – Semasa ‘tarik’ teh, jangan terlalu tinggi pada percubaan pertama untuk elak tumpah. Semakin banyak latihan, semakin cantik buihnya.
-
Gunakan dua bekas bertangkai – Lebih mudah untuk tarik dan kawal aliran teh.
-
Tambahkan sedikit serbuk teh – Jika mahu rasa lebih kuat selain uncang, masukkan sedikit serbuk teh hitam ketika merebus.
-
Esen vanila jangan berlebihan – Cukup 1 sudu kecil sahaja, jika terlalu banyak bau vanila akan menenggelamkan aroma teh.
-
Untuk teh ais – Gunakan ais batu kecil atau ais kisar supaya rasa manis dan pekat lebih sekata apabila diminum.
Resepi Lain Dengan Bahan Yang Sama
Resepi Teh Vanilla Latte Ais
Minuman ini ala-ala teh susu premium, tetapi dibuat guna bahan yang dah ada di rumah. Rasanya lembut, wangi, dan sesuai diminum waktu cuaca panas.
Bahan-bahan:
-
500ml air
-
3–4 uncang teh hitam (atau serbuk teh)
-
3 sudu besar susu pekat manis (ikut selera)
-
½ tin susu cair
-
½ sudu kecil esen vanila
-
Ais batu secukupnya
Cara Penyediaan:
-
Panaskan air hingga mendidih dan masukkan uncang teh. Rebus hingga warna dan aroma teh keluar.
-
Masukkan susu pekat manis, susu cair, dan esen vanila. Kacau sebati.
-
Tutup api dan biarkan minuman sejuk ke suhu bilik.
-
Sediakan gelas berisi ais batu, kemudian tuang teh susu vanilla yang telah sejuk tadi.
-
Kacau perlahan sebelum diminum untuk rasa yang sekata.
Tip:
-
Kalau nak lebih “fancy”, taburkan sedikit serbuk kayu manis di atas ais sebelum dihidang.
-
Boleh juga blender bersama ais untuk dapatkan versi “ice blended”.
