Dalam kehidupan moden hari ini, ramai ibu bapa memilih makanan proses kerana ia mudah, cepat disediakan dan tahan lama. Contoh makanan proses ialah nugget segera, sosej, makanan dalam tin, minuman bergas dan biskut pek siap.
Walaupun mudah, kebanyakan makanan proses mengandungi bahan pengawet, pewarna, penambah perisa serta kandungan garam dan gula yang tinggi. Jika diambil berlebihan, ia boleh memberi kesan negatif kepada kesihatan terutama bagi kanak-kanak.
Berbeza dengan makanan proses, real food merujuk kepada makanan asli dan segar yang tidak melalui banyak pemprosesan. Contohnya ialah ayam segar, ikan, telur, sayur-sayuran, buah-buahan, beras, ubi, dan kacang.
Pakar pemakanan sering menasihatkan supaya kanak-kanak lebih banyak makan real food berbanding makanan proses. Ini kerana real food membantu perkembangan otak, memberi tenaga berpanjangan, menguatkan sistem imun, dan mengurangkan risiko obesiti.
Resepi Nugget Ayam Homemade Mudah & Sihat Untuk Kanak-Kanak
Bila sebut sahaja nugget ayam, hampir semua kanak-kanak suka. Mudah dimakan dengan jari, rasanya rangup di luar dan lembut di dalam. Selalunya kita beli nugget segera di pasar raya, tapi sebenarnya lebih jimat dan sihat kalau buat sendiri di rumah.
Real food kaya dengan vitamin, mineral, serat, dan nutrien semula jadi yang penting untuk pertumbuhan kanak-kanak.
Artikel ini kongsikan resepi nugget ayam homemade yang mudah disediakan, sesuai untuk bekal sekolah atau snek petang anak-anak.
Bahan-Bahan Nugget Ayam Homemade
- 300g isi ayam kisar (boleh guna dada ayam)
- 1 biji telur
- 2 sudu besar tepung gandum
- 2 sudu besar tepung jagung
- 1 biji bawang putih – dicincang halus
- 1 sudu kecil garam
- 1/2 sudu kecil lada sulah
- 1 cawan serbuk roti
- Minyak untuk menggoreng
Cara-Cara Membuat Nugget Ayam Homemade
- Dalam mangkuk besar, campurkan ayam kisar, telur, tepung gandum, tepung jagung, bawang putih, garam dan lada sulah. Gaul hingga sebati.
- Bentukkan adunan menjadi kepingan kecil berbentuk segi empat atau gunakan acuan bentuk kartun (contoh: bintang, hati, atau beruang) supaya lebih menarik perhatian kanak-kanak.
- Salutkan setiap kepingan dengan serbuk roti hingga rata.
- Panaskan minyak dalam kuali, goreng nugget hingga keemasan.
- Angkat, toskan minyak, dan sedia untuk dihidang.
Variasi Nugget Homemade
- Nugget Ikan – gantikan ayam dengan isi ikan yang dikisar.
- Nugget Sayur – campurkan kentang lenyek, lobak merah, brokoli dan sedikit keju.
- Nugget Keju – masukkan dadu keju di tengah adunan sebelum digoreng, bila digigit keju akan cair di dalam.
Cara Simpan Nugget Homemade
Kalau nak buat stok untuk seminggu, nugget boleh dibekukan. Caranya:
- Susun nugget yang sudah dibentuk atas dulang, jangan bertindih.
- Masukkan ke dalam peti sejuk beku selama 2 jam hingga keras.
- Kemudian simpan dalam bekas kedap udara atau plastik ziplock.
- Bila nak masak, terus goreng atau bakar tanpa perlu dinyahbeku.
Kenapa Nugget Homemade Lebih Baik.
Nugget homemade bukan sahaja lebih sedap, malah:
- Tiada bahan pengawet.
- Boleh kawal garam, gula, dan minyak.
- Boleh tambah sayur atau keju mengikut kreativiti.
- Lebih jimat berbanding beli nugget segera.
Rumusan: Nugget ayam homemade ini bukan sekadar makanan, tapi cara untuk ibu bapa pastikan anak makan lebih sihat dan berkhasiat. Dengan sedikit kreativiti, nugget biasa boleh jadi lebih menarik dan menyeronokkan untuk kanak-kanak. Cubalah resepi ini di rumah, confirm anak-anak akan suka!
Tip Tambahan Nugget Ayam Homemade
- Gunakan bahagian dada ayam kerana teksturnya lebih padat dan sesuai untuk dijadikan nugget. Jika nak lebih juicy, boleh campur sedikit isi peha ayam.
- Sejukkan adunan ayam dalam peti ais selama 30 minit sebelum dibentuk. Ini akan memudahkan proses membentuk nugget supaya tidak terlalu lembik.
- Gunakan serbuk roti panko jika mahu hasil yang lebih rangup berbanding serbuk roti biasa.
- Tambah keju parut ke dalam adunan untuk rasa lebih creamy yang biasanya digemari kanak-kanak.
- Perasa semulajadi seperti bawang putih, bawang merah atau sedikit daun sup boleh ditambah untuk aroma wangi tanpa perlu bahan perasa tiruan.
- Bekukan nugget mentah terlebih dahulu sebelum goreng. Ini membantu nugget mengekalkan bentuk semasa digoreng.
- Elakkan api terlalu besar ketika menggoreng kerana nugget boleh cepat hangus di luar tetapi masih mentah di dalam.
- Hidangkan dengan sos homemade seperti sos tomato, mayonis atau sos keju cair untuk lebih menarik selera anak-anak.